#Amanz24 - Apple Macbook Pro 16" Kini Rasmi, Honor V30 Menyokong Rangkaian 5G, Astro Ultra Box HD

14.11.2019
Apple MacBook Pro 16-inci telah dilancarkan secara rasmi semalam. Ia membawakan papan kekunci Magic Keyboard serta pilihan storan sehingga 8TB. Di Malaysia, peranti ini ditawarkan pada harga bermula RM10499 untuk model dengan pemproses Intel Core-i7, 16GB RAM DDR4 dan 512GB SSD. Manakala model dengan pemproses Intel Core-i9, 16GB RAM DDR4 dan storan 1TB SSD pula dijual pada harga RM 12199. Selain itu, Apple turut mengumumkan penawaran Apple Mac Pro dan Pro Display HDR untuk pasaran global. Mac Pro dilengkapi cip pemproses Intel Xeon 28-teras, memori sehingga 1.5TB RAM, storan sehingga 4TB SSD dan sokongan sehingga lapan slot PCI Express. Sementara itu Pro Display HDR pula hadir dengan skrin sebesar 32-inci dengan resolusi Retina 6K. Namun, tarikh dan harga jualan untuk pasaran tempatan masih belum diketahui. Honor pula bakal melancarkan telefon pintar terbaru iaitu Honor V30. Ia memperlihatkan penggunaan dwi-kamera hadapan selain akan membawakan sokongan rangkaian 5G. Buat masa ini, ia hanya dijadualkan untuk pasaran China pada 26 November kelak. Seterusnya, Microsoft mengumumkan penawaran kemaskini terbaru untuk sistem operasi Windows 10 mereka, iaitu Windows 10 November 2019 Update. Buat masa ini, ia ditawarkan melalui Windows Update sebelum mula ditawarkan secara kemaskini automatik. Akhir sekali, Astro secara rasminya telah melancarkan Astro Ultra Box. Menerusi kotak TV Ultra Box, pengguna boleh menonton kandungan resolusi 4K UHD menerusi saluran saluran 481 dan saluran 780. Antara kandungan yang bakal ditawarkan ialah Liga Perdana Inggeris, Formula 1, dokumentari, konsert dan banyak lagi. Kos penukaran adalah percuma bagi pelanggan dengan pakej RM100 dan ke atas dan bayaran RM199 pula akan dikenakan bagi pelanggan dengan pakej di bawah RM100.

Похожие видео