Mingguan Amanz: Vivo V17 Malaysia, GoPayz Zakat Selangor, CIMB Tap n Pay HD
Berita minggu ini dimulakan dengan penawaran telefon pintar terbaru oleh Vivo iaitu Vivo V17. Ia dilengkapi skrin 6.44-inci Super AMOLED, cip Snapdragon 675, memori 8GB RAM, dan storan 256GB. Peranti ini turut menampilkan empat kamera belakang gabungan 48+8+2+ 2-megapixel dan kamera swafoto 32-megapixel. Di Malaysia, ia ditawarkan pada harga RM1699 sebuah. Dalam minggu ini juga, Honor melancarkan dua buah peranti terbaru iaitu Honor 8X Max dan Honor 8S untuk pasaran tempatan. Untuk model Honor 8X Max, ia membawakan rekaan skrin 7.12-inci bertakuk, dijana cip Snapdragon 660, memori 4GB RAM dan storan 128GB. Ia juga menggunakan dwi-kamera belakang gabungan 16+2-megapixel dan kamera hadapan 8-megapixel. Di Malaysia, ia djual pada harga RM899 sebuah. Sementara Honor 8S pula dikuasakan cip MediaTek MT6765, memori 2GB RAM, storan 32GB dan bateri sebesar 3020mAh. Untuk rakaman gambar, ia menggunakan kamera utama 13-megapixel dan kamera swafoto 5-megapixel. Harga jualan peranti adalah RM399 sebuah. Seterusnya, Huawei pula mengumumkan penawaran tablet terbaru iaitu Huawei MediaPad M6 10.6-inci. Tablet ini dijana cip Kirin 980, memori 4GB RAM, dan dilengkapi 7500mAh. Untuk penggambaran, ia membawakan kamera utama 13-megapixel dan kamera hadapan 8-megapixel. Bagi yang berminat, ia dijual pada harga RM1899. Samsung minggu ini melancarkan telefon pintar terbaru iaitu Samsung Galaxy A01. Ia hadir dengan skrin 5.7-inci bertakuk, dijana cip lapan-teras, memori 8GB RAM, storan 128GB selain menggunakan dwi-kamera belakang gabungan 13+2-megapixel. Namun, tarikh jualan masih belum diketahui. Mengenai Samsung lagi, ia dijangka melancarkan Samsung Galaxy S11 pada 18 Februari kelak. Peranti ini bakal menyertakan sensor 108-megapixel dan dilengkapi bateri sebesar 5000mAh. Buat masa ini, tiada butiran lanjut mengenai spesifikasi lain yang ditawarkan. Pada minggu ini juga, Microsoft memperkenalkan sokongan untuk membuat panggilan suara terus melalui PC kepada umum. Untuk menggunakannya, aplikasi ini boleh mula dimuat turun menggunakan peranti Android dan komputer Windows 10. Acer Malaysia pula telah membawa masuk komputer riba gaming Predator Triton 300. Ia dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 yang cukup berkuasa untuk sokongan permainan PC. Di Malaysia, ia dijual pada harga bermula RM3699. Bukan itu sahaja, Acer turut menawarkan monitor Predator CG437K dengan sokongan HDR sehingga 1000 nits. Di Malaysia monitor ini dijual pada harga RM4699 sebuah. Beralih ke berita teknologi Malaysia, Maxis memperkenalkan projek eKelas yang menggunakan teknologi untuk pembelajaran. Antara teknologi yang diperlihatkan adalah teknologi realiti maya, penggunaan 5G dan peranti-peranti realiti gabungan. Setakat ini, projek ini dijalankan di Langkawi dan seterusnya akan diperkenalkan ke Pusat Internet Maxis di seluruh negara. Celcom pula dilihat berkejasama dengan PDRM Langkawi dan Majlis Perbandaran Langkawi untuk membangunkan sistem Penyelesaian Pintar Keselamatan 5G.