Puasa (Ramadhan) dan Imsak Menurut Sunnah siri 5
NIAT PUASA Setiap amal ibadah wajib dimulakan dengan niat. Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam menjelaskan: انَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى Sesungguhnya setiap amal disertakan dengan niat, dan setiap seseorang mendapatkan apa yang ia niatkan. Berniat untuk berpuasa Ramadan hendaklah diniatkan di malam hari, kerana Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam bersabda: مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامُ مِنَ اللَّيْلِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ. Sesiapa tidak berniat dimalam hari (sebelum fajar), tidak ada puasa baginya. مَنْ لَمْ يُجْمِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ. Barang siapa tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka tidak ada puasa baginya. Untuk puasa sunnah, dibolehkan berniat walaupun di siang hari sebagaimana yahg diamalkan oleh Abu ad-Darda, Abu Thalhah, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Huzaifah bin al-Yaman dan selain mereka. Rasulullah pernah mendatangi Aisyah bukan di bulan Ramadan, lalu baginda bersabda: Apakah engkau mempunyai makanan (serapan pagi)? Kalau tidak ada, saya akan berpuasa. Niat bertempat di hati sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam dan para Salaf as-Soleh, tidak dilafazkan dan tidak dibaca dengan jahrah (menguatkan suara). Berniat sejak waktu malam sebelum tirbit fajar. Adalah bidah jika dibaca dengan nyaring (dilafazkan) atau dibaca beramai-ramai selepas solat tarawikh. ANTARA NAMA-NAMA PINTU SYURGA وَمَنْ كَانَ مِنْ اَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصِّيَامِ "Sesiapa yang tergolong orang yang berpuasa, ia akan dipanggil (ke syurga) melalui pintu puasa". اِنَّ فِىالْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ اَلرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لا َيَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرَهُمْ فَاِذَادَخَلُوْا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ (فَاِذَا دَخَلَ آخِرَهُمْ أُغْلِقَ وَمَنْ دَخَلَ شَرِبَ وَمَنْ شَرِبَ لَمْ يَظْمَأْ اَبَدًا) Sesungguhnya di syurga ada pintu yang disebut pintu Rayyan, orang-orang yang berpuasa akan masuk diHari Kiamat melalui pintu tersebut, tiada selain mereka yang memasukinya. Setelah masuk orang terakhir yang berpuasa, ditutuplah pintu tersebut. (Sesiapa yang masuk akan minum dan tidak haus selamanya).